(http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Naikbaspercumalepasbayarcajparkir/Article/index_html)
Arkib MyMetro:
PUTRAJAYA: Pengguna kini boleh menaiki bas Nadi Putra secara percuma tanpa had untuk ke mana-mana destinasi dengan membayar caj tempat letak kereta yang disediakan pada kadar RM2.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata perkhidmatan istimewa itu diberikan di bawah Sistem Pengurusan dan Kawalan Transit Awam Putrajaya (Spektra Putrajaya).
Menurutnya, pengguna hanya perlu mengimbas kad Park and Ride (P&R) pada mesin tiket di dalam bas dan tiket tanpa bayaran akan dikeluarkan.
“Harga ini paling murah di dunia dan saya jangka ia menarik lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam di Putrajaya.
“Tetapi, caj bermalam sebanyak RM5 jika keluar dari kawasan letak kereta selepas jam 12 tengah malam, namun ia masih murah sekiranya dibandingkan di tempat lain,” katanya selepas merasmikan Program Spektra Putrajaya di Presint 9, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Adnan Md Ikshan; Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Samsudin Osman dan Pengarah Perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Abd Ghani Ahmad.
Pada kesempatan itu, Raja Nong Chik meluangkan waktu mencuba pengangkutan terbabit mengelilingi kawasan di sekitar Presint 9 dan 7, sekali gus merasai pengalaman menaiki bas Nadi Putra.